Rabu, November 19, 2008

KEMUDAHAN DAN KEISTIMEWAAN YANG DISEDIAKAN KEPADA OKU OLEH AGENSI KERAJAAN DAN SWASTA

3) Galakan Pelepasan Cukai Pendapatan

Kerajaan juga memperluas potongan cukai berganda dalam tahun 1981 kepada para majikan mengambil pekerja OKU dalam tahun 1991. Pelepasan pengecualian cukai bagi ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya di bawah umur 18 tahun. Juga memberi rebat cukai kepada pembayar cukai bagi membeli alat-alat khas bagi kegunaan sendiri, anak atau ibu bapa kurang upaya. Sebagai galakan berterusan bagi memelihara OKU dan sebagai pelepasan tambahan kepada potongan RM 5, 000 sementara potongan untuk isteri sebanyak RM 3,000. Mulai tahun 1995, kerajaan turut meluluskan pelepasan tambahan sebanyak RM 5, 000 diberi kepada pembayar cukai yang kurang upaya sementara pasangan yang kurang upaya sebanyak RM 2,500. Sehubungan dengan itu, mulai tahun 2005, pelepasan cukai tambahan ini dinaikkan kepada RM 6,000 bagi pembayar cukai OKU sementara RM 3,500 lagi kepada pasangan yang OKU.
4) Pengecualian Cukai Jalan (Road Tax) dan Bayaran Lesen Memandu
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyediakan kemudahan pengecualian cukai jalan dan bayaran lesen memandu bagi OKU yang menggunakan kenderaan buatan tempatan yang meliputi syarat-syarat berikut;

a) kereta, van dan motosikal buatan nasional sahaja
b) berdaftar sebagai OKU anggota di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat
c) pengecualian hanya diberi kepada pemohon sahaja
d) hanya sebuah kenderaan sahaja yang diberi pengecualiane) memiliki lesen memandu yang sah (Lesen Kelas A)

Selasa, November 18, 2008

SIMPOSIUM PEKERJAAN OKU PENGLIHATAN

1. TEMA - Ke Arah Perkhidmatan OKU Penglihatan Yang Lebih Cemerlang

2. OBJEKTIF

a. Mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara pekerja dengan majikan
b. Memberi maklumat terkini tentang kemudahan dan penggunaan peralatan berteknologi terkini dalam membantu meningkatkan produktiviti dan kualiti pekerja OKU penglihatan.
c. Mendedahkan keistimewaan-keistimewaan mengaji OKU penglihatan
d. Memberi peluang kepada pekerja OKU penglihatan di sektor awam dan swasta menyuarakan masalah dan permasalahan yang dihadapi dalam pekerjaan.

3. RASIONAL

a. Pada masa sekarang peluang pekerjaan untuk OKU penglihatan amat terhad, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta. Bagi mereka yang sedang berkhidmat pula, peluang menghadiri latihan dalam perkhidmatan amat sedikit. Seminar pekerjaan ini mungkin boleh dijadikan platform untuk menyuarakan pendapat dan mencari jalan yang lebih baik untuk membantu golongan OKU penglihatan mendapat pekerjaan,
b. Bagi mereka yang sedang berkhidmat, simposium ini dapat meningkatkan daya saing mereka agar setanding dengan pekerja lain.
c. Membantu majikan bertindak selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 dan Seksyen-seksyen berkaitan pekerjaan OKU dalam Akta OKU 2007.

4. TARIKH, MASA DAN TEMPAT SIMPOSIUM
Tarikh: 15 dan 16 Disember 2008 (Isnin – Selasa)
Masa: 8.30 am – 5.30 pm
Vanue: Emeral Hall, Hotel Grand Pacific, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

5. PESERTA

Simposium diberi keutamaan kepada mereka yang berikut dan juga terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat:
a. Pekerja OKU daripada sektor awam dan swasta
b. Majikan dan bakal majikan
c. Agensi pengambilan pekerja dan penguat kuasaan
d. Individu yang ingin menyumbang idea atau mencari maklumat tentang [ekerjaan OKU.

6. YURAN PENYERTAAN

Penganjuran simposium ini tidak bermotifkan keuntungan sebaliknya pihak penganjur akan menampung sebahagian daripada kos yang terlibat dan sebahagian lagi adalah tanggungan peserta melalui yuran penyertaan yang dikenakan mengikut pilihan seperti berikut:
a. RM 200.00 untuk 2 hari simposium, dua malam penginapan, makan dan minum.
b. RM100.00 untuk 2 hari simposium, makan dan munum tanpa penginapan.

7. PENGISIAN
Hari Pertama
15.12.2008 (Isnin
)
0800 -0930 : Pendaftaran dan minum pagi
09.50 - 1000 : Ketibaan Menteri Sumber Manusia.
1000 - 1100 : Majlis perasmian
1100 - 1300 : Ceramah 1, pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 Oleh wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
1430 - 1530 : Ceramah 2, Keistimewaan menggaji Pekerja OKU Penglihatan dan Peranan Kementerian Sumber Manusia Dalam Promosi serta Latihan Kepada OKU Penglihatan Oleh Wakil Kementerian Sumber Manusia.
1530 - 1630 : Ceramah 3, Galakan-Galakan Yang Perlu dan Akan Disediakan Pihak Kerajaan Kepada Majikan Yang Menggaji OKU Penglihatan Oleh Wakil Bahagian Belanjawan, Kementerian Kewangan.
1630 - 18.00 : Bengkel Pekerjaan OKU Penglihatan Sektor Awam dan Swasta.
Hari Kedua
16.12.2008 (Selasa)
0900 - 1030 : Ceramah 4, Akta OKU 2007, Peranan Serta Tanggungjawab Majikan dan Pekerja oleh Encik Mah Hassan bin Haji Omar. Peguam Cara dan Peguam Bela.
1100 - 1300 : Forum Kecemerlangan OKU Satu Pandangan Dari Sudut Majikan Oleh 2 orang wakil sektor awam dan 2 orang wakil sektor swasta
1430 - 1515 : Penggunaan Teknologi Dalam Meningkatkan Lagi Kuantiti dan Kualiti Produktiviti Oleh Encik Moses Choo, Pegawai Eksekutif, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM)
1515 - 1600 : Ceramah 5, Meneroka Peluang-peluang Pekerjaan Baru Bagi OKU Penglihatan oleh Dr. Zakaria Osman. Pensyarah Terbuka Malaysia.
1600 - 1630 : Pembentangan Resolusi Simposium oleh pelapor ahli akademik berpengalaman daripada UKM dan UM.
1630 : Jamuan teh dan bersurai.

8. METODOLOGI SIMPOSIUM

a. Pembentangan kertas kerja oleh para penceramah dari pelbagai organisasi dan agensi dan diikuti dengan sesi soal jawab / perbincangan oleh para peserta.
b. Perbengkelan oleh para peserta simposium.
c. Forum oleh para majikan yang terlibat dengan pekerja OKU penglihatan.
d. Penghasilan kertas cadangan untuk disampaikan kepada pihak kerajaan untuk tindakan susulan.

9. PENUTUP

Simposium ini diharap dapat menambah baik khidmat sokongan dan latihan kepada pekerja OKU Penglihatan yang sedang berkhidmat sama ada dalam sektor awam atau swasta di samping mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang baru.

Peraduan Menulis Cerita Kanak-kanak Sempena Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2009

Peraduan ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu;

i) Kategori Guru
ii) Kategori Murid Sekolah Rendah (Tahun 4 – 6)
iii) Kategori Murid Sekolah Menengah Rendah (Tingkatan 1 – 3)
iv) Kategori Murid Sekolah Menengah Atas (Tingkatan 4 – 5)

Syarat-syarat Peraduan

1. Peraduan ini terbuka kepada semua murid yang sedang belajar di sekolah bantuan penuh kerajaan di seluruh Malaysia.
2. Cerita hendaklah ditulis samada dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
3. Tema cerita ‘Terima Kasih Cikgu’.
4. Tajuk skrip penulisan adalah bebas.
5. Peserta hanya boleh mengemukakan satu hasil karya dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.
6. Panjang cerita
- Kategori Guru TIDAK lebih daripada 3,000 patah perkataan.
- Kategori Sekolah Menengah TIDAK lebih daripada 1,000 patah perkataan.
- Kategori Sekolah Menengah Rendah TIDAK lebih daripada 500 patah perkataan.
- Kategori Sekolah Rendah TIDAK lebih daripada 250 patah perkataan.
7. Jumlah perkataan mestilah dicatatkan dengan tepat pada penghujung hasil karya.
8. Halaman muka surat mestilah ditaip pada setiap halaman skrip.
9. Hasil karya hendaklah ditaip atas kertas saiz A4 dalam jarak langkau dua dan menggunakan huruf jenis Arial saiz 12 poin.
10. Hasil karya hendaklah merupakan hasil penulisan asli bukan ciplak atau terjemahan dan belum pernah disiarkan atau diterbitkan.
11. Hasil karya tidak boleh mengandungi unsur-unsur negatif yang menyentuh sensitiviti kaum,agama dan politik.
12. Latar belakang cerita hendaklah berdasarkan masyarakat Malaysia yang berfokuskan kehidupan harmoni dan bersatu dalam kalangan pelbagai kaum. Nilai-nilai murni harus diterapkan.
13. Penulis hendaklah menghantar hasil karya yang asal.
14. Kementerian Pelajaran Malaysia berhak menerbit, mencetak dan mengedar karya-karya yang diterima.
15. Maklumat penyertaan hendaklah ditulis pada Lampiran BBT III.
16. Penulisan skrip adalah untuk bahan bacaan murid sekolah rendah dan menengah.
17. Tarikh tutup peraduan ialah pada 2 Februari 2009.
18. Jemputan Ke Majlis Perayaan Hari Guru 2009.
19. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan dijemput untuk menerima hadiah dalam Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2009.
20. Hasil karya hendaklah sampai sebelum atau pada tarikh tersebut ke Jabatan Pelajaran Negeri.
21. Penyertaan yang gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan di atas tidak akan dipertimbangkan.
22. Keputusan panel hakim adalah muktamad. Sebarang surat-menyurat berkaitan dengan peraduan tidak akan dilayan. Bukti penghantaran bukan bukti penerimaan.
23. Sekiranya ada sebarang pertanyaan sila hubungi Encik Krishanan a/l Ponnusamy di talian 03-88844480 atau Puan Hajah Siti Natrah binti Mukhtaram di talian 03-88844485.

Tiada Lagi Pas Khas RapidKL Untuk OKU

Bermula 01 Januari 2008, Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) tidak lagi memperbaharui pas khas untuk OKU. Sebelumnya semua pemegang kad ini berpeluang menaiki pengangkutan awam seperti LRT, PutraLRT, komuter, bas dan sebagainya dengan percuma namun kemudahan ini tidak lagi dinikmati oleh golongan ini. Apa yang perlu dibuat oleh OKU untuk menaiki pengangkutan awam ini ialah dengan hanya menunjukkan kad OKU/JKM yang berdaftar di kaunter dan mereka layak menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus ke mana-mana destinasi.
Info lanjut bolehlah layari http://www.putralrt.com.my/ atau Pusat Khidmat Pelanggannya di talian 03-7625 6999

Sabtu, November 15, 2008

Si buta huruf, lembam pun perlu lesen memandu

IPOH - Kelas Kokurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) bagi mendapatkan lesen memandu untuk calon lembam dan buta huruf yang julung kali diadakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mendapat sambutan hangat semalam.
Sejak awal pagi lagi, orang ramai dari seluruh pelosok negeri ini telah mengerumuni Ibu Pejabat JPJ, Perak di sini hinggakan 200 borang permohonan yang disediakan habis sejak pukul 9.30 pagi lagi.
Pengarah JPJ Perak, Mad Yasir Mastakim berkata, program KPP untuk calon lembam dan buta huruf tersebut merupakan inisiatif pihaknya untuk membantu golongan bermasalah mendapatkan lesen memandu yang sah.
"Permohonan mereka perlu disokong dokumen daripada doktor, pengetua sekolah, ketua kampung atau wakil rakyat. Ada di kalangan calon lembam ini dikesan sudah lima kali gagal dalam ujian undang-undang Bahagian I berkomputer JPJ.
"Masalah yang dikenal pasti ialah mereka sukar memahami sukatan pengajaran yang diserapkan dalam KPP dan kurang berkeupayaan untuk menjawab ujian tersebut secara berkomputer," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Kualiti dan Hari Terbuka JPJ Perak yang dirasmikan Pengarah Korporat dan Penyelidikan JPJ, Zairi Mohd. Ali di Pejabat JPJ Perak di sini semalam.

Jumaat, November 14, 2008

KEMUDAHAN DAN KEISTIMEWAAN YANG DISEDIAKAN KEPADA OKU OLEH AGENSI KERAJAAN DAN SWASTA

1) Kemudahan Pendidikan

Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Bahagian Pendidikan Khas menyediakan kelas khas kepada kanak-kanak bermasalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan disleksia. Program pendidikannya dijalankan di sekolah khas pendidikan serta Program Integrasi di sekolah aliran perdana.

Kerajaan turut mengecualikan bayaran pendaftaran kemasukan pelajar-pelajar kurang upaya pendengaran yang mengikuti latihan kemahiran di institusi-institusi pengajian di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran. Bagi pelajar yang berjaya, mereka layak mendapat elaun bulanan sebanyak RM 300.00 sebulan. Pengumuman Baget 2004 menyatakan elaun ini turut layak dinikmati oleh semua pelajar kurang upaya di institusi pengajian tinggi.

Di samping itu juga, mulai Januari 2009, elaun bulanan sebanyak RM 150.00 sebulan diberikan kepada pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan menengah bagi menggalakkan lagi anak-anak istimewa ini mendapat ilmu.

2) Kemudahan di Dalam Aktiviti Harian
Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengambil inisiatif dalam menggalakkan pelbagai kemudahan dan prasarana diwujudkan bagi membolehkan OKU bergerak bebas tanpa halangan. satu daripada inisiatif ini ialah dengan penubuhan Jawatankuasa Teknikal dengan pihak SIRIM sebagai urus setianya telah merangka Kod Amalan Akses Bagi OKU Ke Bangunan Awam. Kod ini telah menghasilkan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 di mana semua bangunan baru diwajibkan mempunyai kemudahan akses kepada OKU. antaranya ram dan railing untuk OKU berkerusi roda, lif khas dengan sistem audio dan tulisan braille pada semua butang fungsinya, tandas khas dan tenpat letak kereta khas. Malah ada antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor menggunakan sistem lampu berwarna biru untuk ruang OKU dan hijau untuk orang awam manakala merah untuk ruang kereta yang sedang digunakan. Kaedah ini digunakan untuk ruangan letak kereta di bawah bangunan sahaja.
* sambungan...

Khamis, November 13, 2008

EKSPO PEKERJAAN OKU

Tarikh : 03 Disember 2008
Masa : 0900 hingga 1700
Vanue : Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi, Selangor

Pengisian

1. Taklimat peluang pekerjaan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia
2. Temuduga terbuka pekerja OKU
3. Pendaftaran pekerjaan secara dalam talian (online)
4. Pameran pekerjaan dan gerai jualan

* Pertanyaan dan pendaftaran kehadiran - Pn. Noormelah bt. Ramli / En. Cypnan Anak Manda di talian +606-232 7748 dan +606-232 7750

Ahad, November 09, 2008

Blog Gagal Dikemaskini

Assalamualaikum dan salam buat semua. Di sini, saya ingin memohon jutaan kemaafan kerana blog ini gagal dikemas kini mengikut jadualnya. Ini adalah kerana disebabkan kediaman baru kami masih belum menerima sambungan kabel talian telefon daripada pihak TM untuk sambungan Streamyx saya. Walau bagaimanapun saya akan cuba sedaya upaya untuk meminjam broad band rakan agar perkembangan terbaru dapat dikongsi bersama semua pembaca. Harap maklum.

Rabu, September 17, 2008

Selamat Diami Kediaman Baru

Alhamdulillah, pada tanggal 14 September 2008, kami 3 beranak mula diami kediaman baru kami di puncak bukit dikenali sebagai Taman Bukit Katil Damai, Melaka. Syukur kehadrat Allah Taala kerana doa kami selama ini untuk memiliki aset kekal berjaya juga akhirnya. Jutaan terima kasih juga buat ipar Azhar, biras Aris dan bapa mertua yang turut sama bantu mengangkat barang-barang kami ari rumah lama ke kediaman baru. Walaupun penat namun hati terhibur bila memandang si comel Thariq "menjelajah" dari setiap ruang rumah. Penat juga nak kejar dia. Apapun, moga kami tenang mendiami kediaman beru ini insya Allah

Ahad, September 07, 2008

Selamat Menduduki Peperiksaan

Buat teman-teman sekelas khususnya OUM Unit 6, IPPM, selamat menduduki Peperiksaan Pertengahan Semester yang bermula 8 hingga 12 September 2008. Moga kejayaan mengiringi perjuangan kita semua, insya Allah.

Isnin, September 01, 2008

Berakhirnya Penantian

Alhamdulillah, tanggal 27Ogos 2008 adalah tarikh yang penting bagiku. Penantian selam ini pun berakhir apabila pihak pemaju menyerahkan kunci beserta sijil layak menduduki (CF) kepada semua pembeli. Impian untuk memiliki kediamn sendiri sudah terlaksana. Jadi, kini kami tengah sibuk mengemas untuk sebolehnya berpindah secepat mungkin sebelum bulan depan. Apa tidaknya, bulan depan dah mula potong rumah, kalau tak keluar daripada kuaters ni beratla sikit sebab Elaun Perumahan dan COLA dipotong. Kediaman rasmi kami kini terletak di Taman Bukit Katil Damai, Bukit Katil, Melaka dengan jenis kediaman Semi-D type-B brkeluasan 35X75 dan yang lebih menariknya ia terletak di atas bukit. Mudah la nak pasang antena untuk radio amatur nanti, insya Allah. La ni tengah rancak buat gril dan wirering. Kalau ada rezeki lebih nanti cadang nak buat sikit keduri doa selamat sempena menduduki rumah baru+open house untuk saudara terdekat dan rakan-rakan setugas.
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Kediaman ini dianggap sementara kerana sampai masanya nanti, kami aan pulang jua ke pangkuan keluarga dan saudara di Sg. Petani, Kedah, insya Allah. Itulah sebenarnya tanggung jawab seorang anak lelaki kepada kedua orang tuanya.

Selasa, Ogos 26, 2008

Ramadhan Kian Menjelma

Tidak sampai seminggu lagi kita akan menyambut bulan puasa atau Ramadhan Al-Mubarak bagi tahun 1429 Hijrah. Rasanya baru saja bulan puasa berlalu, dan kunjung tiba kembali. Bulan yang penuh dengan keberkatan, moga kita semua dapat memanfaatkan bulan puasa berkenaan lebih baik daripada tahun lepas insya Allah. Kepada semua umat Islam di seluruh dunia yang dapat mengakses blog saya ini, Selamat Berpuasa kepada semua.

Jumaat, Ogos 22, 2008

Marlon sedia gempur benteng Gergasi Merah

"SAYA akan tembusi pertahanan lawan."

Itu janji penyerang prolifik Kedah, Marlon Alex James yang bertekad mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Jelas Marlon, dia mahu menjadikan perlawanan terakhirnya itu bersama skuad Hijau Kuning sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Tambah Marlon, dia akan memanfaatkan pentas akhir ini dengan sebaiknya dalam usaha membantu skuad Kenari mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

"Sebagai seorang pemain profesional, saya menganggap setiap perlawanan adalah sama sahaja walaupun Sabtu ini adalah aksi terakhir saya.

"Malah saya akan berusaha dengan lebih untuk menembusi pertahanan lawan yang sudah pasti akan menutup ruang untuk saya bergerak," katanya kepada Kosmo!

Menurut Marlon, Kedah telah membuat persiapan rapi bagi mengharungi perlawanan tersebut yang dianggap pasti menjanjikan saingan sengit.

"Saya hanya berharap kombinasi bersama pemain muda Kedah akan menghasilkan satu permainan yang mantap sehingga kami dapat membawa pulang piala berprestij itu," kata Malron.

Pemain kelahiran St. Vincent & Grenadine itu terpaksa melupakan niatnya untuk terus menabur bakti bersama Kedah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak membenarkan penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia musim depan.

Marlon yang menjadi pilihan ramai bagi kategori Pemain Import Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM 2007/2008, muncul sebagai penyerang import paling menyerlah dalam Liga Malaysia musim ini.

Ekoran pencapaian cemerlangnya itu, kelibat Marlon pasti bakal menjadi igauan buat benteng pertahanan skuad Gergasi Merah Kuning yang mahu melakar kejuaraan tunggal musim ini.

Helmi tidak rela rekod tercalar

ALOR STAR - Pertarungan sengit antara Kedah dengan Selangor dalam final Piala Malaysia musim 2007/2008 hanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok namun gendang Hijau Kuning sudah dipalu menyemarakkan sesi latihan skuad Kenari di Stadium Darulaman, di sini, semalam.

Begitulah hebatnya sokongan peminat-peminat setia Hijau Kuning yang terus membakar semangat pemain-pemain Kedah dalam usaha untuk memastikan Piala Malaysia musim ini terus kekal di negeri yang dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia itu.

Namun, di hujung padang, penjaga gawang Kedah, Helmi Eliza Elias gigih berlatih menangkap kemas rembatan kencang rakan-rakan sepasukannya terutama penjaring terbanyak, Marlon Alex James dalam sesi latihan yang membayangkan betapa dia benar-benar bersedia untuk menghadapi Selangor.

Gendang dipalu penyokong-penyokong Kedah itu bagi Helmi menunjukkan bahawa mereka begitu mengharapkan kemenangan skuad Kenari ke atas Selangor dan tugas tersebut turut dipikul Helmi yang tidak mahu menghampakan.

Sudah pasti peminat-peminat bola sepak Kedah begitu mengharap untuk skuad Kenari meraih pula Piala Malaysia selepas muncul juara berganda musim 2007/2008 apabila memenangi Liga Super dan Piala FA.

Apatah lagi, Kedah mahu mengulangi pencapaian musim lalu dengan mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi ketiga-tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Helmi mengakui pertarungan akhir Piala Malaysia kali ini penuh berbeza dan tugasnya berat, bukan sahaja membabitkan kehebatan kedua-dua penyokong pasukan tetapi perlawanan antara dua pasukan yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri.

''Saya berpengalaman bermain dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ketika membantu Kedah menjadi juara mengatasi Perak pada musim lalu tetapi dengan Selangor, sudah tentu ia berbeza, cuma kami (Kedah) sudah tentu akan berhati-hati," kata Helmi ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak menafikan bahawa Selangor mempunyai penyerang berbahaya seperti Frank Seator dan Safee Sali namun pengalaman dan komitmen tinggi kesemua pemain diharap menjadi senjata untuk mengekang kemaraan Red Giants. ''Kami pernah beberapa kali mengatasi pasukan ini (Selangor).

Sudah tentu kami tidak rela rekod Kedah tercalar di tangan Selangor walaupun menyedari Red Giants lebih berbahaya kali ini kerana mahu membalas dendam selepas tewas 3-2 pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini," kata Helmi.

Malah, perlawanan akhir Piala Malaysia menjadi medan untuknya mempamerkan lebih jitu selepas dipilih mewakili Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang kelab terkemuka Liga Perdana England, Chelsea yang sudah tentu meninggalkan kesan cukup mendalam. Berdasarkan faktor tersebut, sudah pasti lebih banyak mata akan tertumpu kepadanya, apatah lagi apabila reputasinya sebagai penjaga gawang cukup memberangsangkan pada perlawanan menentang Chelsea tetapi bagi Helmi ia bukan ukuran.

''Dalam setiap perlawanan, apa sekali pun kita kena bermain dengan sepenuh tumpuan. Begitu juga dengan penjaga gol kerana kesilapan bakal membawa padah," katanya yang tersenyum apabila diajak mengimbau salah satu aksi menariknya ketika menepis rembatan kencang pemain handalan Chelsea, Deco dalam perlawanan persahabatan tersebut. ''Itu lain (perlawanan menentang Chelsea), kali ini lain, saya punya tanggungjawab untuk merebut kejuaraan dan akan memberikan komitmen tinggi untuk membantu rakan-rakan sepasukan," tambahnya.

Di bawah bimbingan bekas penjaga gol Kedah dan kebangsaan, Ahmad Sobri Ismail, Helmi yakin barisan pertahanan Kedah dapat menyerap asakan barisan serangan Selangor, malah dia percaya persefahaman di antara pemain dapat membantu skuad Kenari memburu kejuaraan.

Ahmad Sobri ketika ditemui berkata, dia yakin Helmi dapat memberikan persembahan menarik selepas beberapa latihan yang giat dijalankan menjelang perlawanan akhir itu.

Khamis, Ogos 21, 2008

Ganjaran menunggu pemain Kedah

ALOR STAR - Gelanggang belum dibuka namun barisan pemain Kedah sudah siap sedia untuk menghadapi Selangor yang menunggu penuh debar di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini, apatah lagi barisan pemain Hijau Kuning bakal menerima ganjaran sebelum final Piala Malaysia itu bermula.

Ini diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa pemain-pemain akan menerima ganjaran daripada agihan wang hadiah RM350,000 selepas menjulang Piala FA musim 2007/2008, sehari sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia berlangsung.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah memberitahu, itu adalah ganjaran hadiah Piala FA sebagai suntikan semangat kepada pemain sedangkan insentif lain turut menunggu sekiranya Kedah menjulang Piala Malaysia musim ini.

''Kita akan beri ganjaran, jumlahnya belum diputuskan, kita tengok bagaimana nanti. Cuma sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia, kita akan beri ganjaran daripada wang RM350,000, hadiah yang diraih baru-baru ini,"kata Azizan kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darulaman, di sini, semalam.

Presiden KFA itu berkata, beliau yakin barisan pemain Kedah dapat memberikan persembahan memberangsangkan pada perlawanan menentang Selangor berdasarkan keupayaan yang ditunjukkan pemain sebelum ini.

Menurut beliau, peminat bola sepak nombor satu Kedah iaitu Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat menyaksikan perlawanan akhir tersebut yang sudah pasti memberikan sokongan moral cukup tinggi kepada barisan pemain skuad Kenari.

''Baginda juga akan bertemu dengan pemain-pemain dan pegawai skuad Kedah sebelum perlawanan untuk memberikan kata-kata perangsang," kata beliau.

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Nelson Sam Martin ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Kenari berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk beraksi pada perlawanan akhir itu kerana kesakitan pada lutut kanannya sudah beransur hilang.

''Tidak ada masalah, sedikit sahaja, tengok saya boleh menjalani latihan seperti biasa dan sudah tentu mahu memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti," kata pemain import dari negara Chile itu.

Menurut Nelson, dia percaya Kedah mampu menjinakkan Red Giants apatah lagi dengan memiliki barisan pemain muda yang sebelum ini menunjukkan keupayaan masing-masing dalam perlawanan-perlawanan lalu.

Rabu, Ogos 20, 2008

Selamat Ulang Tahun Perkahwinan

Di kesempatan ini kami sekeluarga ingin menyampaikan ucapan tahniah atas sambutan ulang tahun perkahwinan yang ke-12 buat pasangan Mohd. Nur Hisham dan Ruhilah pada 19 Ogos 2008. Moga bahtera rumahtangga anda berkekalan bahagia hingga ke akhir hayat, insya Allah.

Pemain Kedah perlu segera fokus final

KETUA jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah meminta anak buhanya melupakan kekalahan 0-2 kepada Terengganu, kelmarin dan menumpukan perhatian terhadap perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Selangor di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

“Ketika kami mencari jaringan awal tetapi pihak lawan pula yang melakukan jaringan dan keadaan itu membakar semangat mereka mengasak kami.

“Namun, kekentalan mental anak buah saya terbukti apabila lawan hanya berjaya melakukan dua jaringan.

“Bukan kami tidak memiliki peluang tetapi barisan serangan yang selalu berjaya menemui sasaran semalam (kelmarin) gagal berbuat demikian dan inilah yang menambahkan beban kepada bahagian pertahanan kita,” kata Azraai.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tiada pemainnya yang menerima kad kuning kedua sekali gus membenarkannya menamakan kesebelasan terbaik, Sabtu ini.

“Ketika bertemu Selangor pada perlawanan akhir Piala FA, dua pemain import kami, Cornellius Bernard Hugging dan Marlon Alax James tidak bersama kerana pulang mewakili pasukan negara mereka pada perlawanan kelayakan Piala Dunia.

“Sabtu ini, kami akan dapat membariskan ketiga-tiga pemain import termasuk barisan pemain tempatan terbaik bagi mempertahankan piala yang dimenangi musim lalu,” katanya.

Tempoh latihan selama enam hari di Stadium Darulaman akan digunakan Azraai bagi mempertajamkan bahagian serangan yang kelihatan sedikit tumpul ketika bertemu Terengganu.

Layan Selangor seperti biasa

ALOR STAR - Antara Kedah dengan Selangor, jika dua pasukan ini bertarung, ia pasti mengubah sedikit suasana muram bola sepak negara yang hala tuju masa depannya semakin bercelaru apatah lagi kedua-dua gergasi bertemu dalam final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kedua-duanya sama hebat jika sandaran penyokong diambil kira, cuma Kedah mempunyai rekod lebih cemerlang setiap kali bertemu Selangor termasuk kejayaan paling terbaru, menewaskan pasukan Lembah Klang itu 3-2 untuk menjuarai Piala FA musim 2007/2008.

Itu cerita Piala FA sedangkan dalam siri akhir Piala Malaysia, ini adalah kali pertama Kedah sebagai penyandang juara Piala Malaysia bertemu Selangor dalam perlawanan akhir, pertemuan ibarat 'buku dengan ruas'.

Bagaimanapun, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah tidak menganggap kedudukan itu sebagai kesukaran buat skuad bimbingannya memandangkan dalam aksi Liga Super dan Piala FA, Kenari sudah lama mengenali Red Giants.

''Kita (Kedah) telah berkali-kali bertemu Selangor, biar apa sahaja perlawanan pun, ia adalah pasukan sama yang akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia," kata Azraai yang telah membawa kejayaan Kedah muncul juara berganda apabila merangkul gelaran Liga Super dan Piala FA musim 2007/2008, ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Hijau Kuning di Stadium Darulaman, di sini, semalam.

Azraai yang kini memburu gelaran treble jika berjaya menjulang Piala Malaysia berkata, Kedah kini siap sedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan akhir tersebut apabila kesemua pemain mempunyai semangat begitu tinggi.

''Cuma kapten, Victor Andrag mengalami sedikit kecederaan pada kaki tetapi ia tidak serius dan saya jangka keadaannya kembali seperti biasa pada hari perlawanan," kata beliau.

Sementara itu, penyerang sensasi Kedah, Marlon Alex James menyifatkan semua perlawanan melibatkan Kedah penting dan perlu diberikan tumpuan sebagaimana biasa dalam usaha membawa kejayaan kepada pasukan berkenaan.

Walaupun ramai mengatakan bahawa Marlon akan memberikan komitmen luar biasa bagi memastikan hadiah Piala Malaysia menjadi kenangan terakhir paling bermakna untuknya meninggalkan negara ini selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan lagi aksi pemain import, Marlon berkata:

''Saya profesional, apa sahaja perlawanan kena beri tumpuan, jadi tidak ada bezanya. Jadi, sudah pasti saya akan bersama-sama rakan sepasukan bermain sebaik mungkin dalam perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.

''Saya percaya kepada pasukan (Kedah) dan semua pemain memberikan komitmen tinggi sehingga kami mampu ke tahap ini. Kedah mempunyai pemain muda yang baik seperti Fadly Baharum, saya cukup serasi dengan pasukan ini," tambah beliau.

Mengenai kemampuan Selangor, Marlon menjelaskan, sebagai penyerang beliau tidak mengira pasukan mana sekalipun dihadapi dan akan memberikan aksi terbaiknya.

Badrol Ada Misi Tersendiri

ANGAN-angan sejak zaman kanak-kanak bakal jadi kenyataan."
Demikian luahan bintang muda Kedah, Badrol Bakhtiar, 20, yang ingin melakar sejarah dengan membantu pasukannya merangkul enam kejuaraan dalam masa dua tahun berturut-turut.

Impian pemain sayap kanan skuad Kenari itu akan dapat dilihat pada perlawanan akhir saingan bola sepak Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Menurutnya, jika semasa zaman kanak-kanak dahulu dia pernah terfikir untuk mencapai sesuatu yang dapat dijadikan sejarah bersama pasukannya tetapi kali ini dia hanya perlu berusaha berlipat kali ganda untuk menjadikan angan-angan itu satu kenyataan dan sejarah.

"Saya tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk merealisasikan impian yang tersimpan selama ini, lebih-lebih lagi jika disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya tidak mustahil untuk Kedah menjuarai Piala Malaysia musim ini memandangkan rakan sepasukan juga begitu bersemangat dan bersedia untuk perlawanan akhir nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Badrol yang pernah berguru dengan bintang Chelsea seperti, Didier Drogba dan Michael Ballack berkata, dia tidak lagi berasa gugup untuk diturunkan pada perlawanan akhir kerana pengalaman yang ada telah memberi keyakinan kepadanya.

Jelasnya, dia bukan mahu bercakap besar tetapi ilmu yang diberikan oleh jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah telah menjadikan setiap pemain lebih yakin ketika berdepan lawan.

Katanya lagi, dia juga berjanji kepada penyokong Hijau Kuning untuk melakukan yang terbaik pada perlawanan itu nanti bagi membantu pasukannya muncul sebagai pasukan pertama yang menjuarai tiga piala dalam masa dua tahun berturut-turut sekali gus tercatat dalam sejarah bola sepak negara.

Dalam keghairahan mengejar kejuaraan terakhir Liga Malaysia bagi musim 2007/08, Badrol juga mengakui, dia perlu mengawal gerakan pemain Selangor yang tidak kurang hebatnya.

"Mereka (Selangor) juga adalah pasukan terbaik pada musim ini jadi kami tidak akan memandang mudah cabaran yang akan diterima sebaliknya akan berusaha mencari yang terbaik untuk meraih kejayaan," ujarnya.

Kedah Tak Sabar Jumpa Gergasi Merah

JUARA bertahan Piala Malaysia, Kedah yang teruja menghadapi jaguh Lembah Klang, Selangor Sabtu ini perlu lebih berhati-hati jika mahu mencipta rekod sebagai pasukan pertama dalam sejarah bola sepak tanah air mempertahankan ketiga-tiga piala bagi dua musim berturut-turut.

Bermain pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang pasukan berpengalaman seperti Selangor di Stadium Bukit Jalil adalah berbeza dengan perlawanan lain walaupun Kedah berjaya mempertahankan Piala Liga dan Piala FA musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata berdasarkan perkiraan di atas kertas Selangor memiliki kelebihan kerana memiliki ramai pemain kebangsaan yang pasti lebih berpengalaman.

"Pemain seperti Elie Aiboy, Mohd. Amri Yahyah, Mohd Safee Sali dan Frank Seator terbukti menjadi aset kebangkitan skuad Merah Kuning itu namun Kedah tidak ketandusan pemain berkaliber.

"Mempertahankan Piala Malaysia adalah sesuatu yang sukar dan lebih manis dapat mengekalkan ketiga-tiga piala bagi dua musim berturut-turut," katanya.

Katanya, dia sedang merangka strategi khusus untuk perlawanan itu yang diharapkan mampu membendung kemaraan Selangor dan pada masa sama corak taktikal yang diterapkan membolehkan pemain Kedah merobek benteng lawan.

"Saya harap setiap pemain Hijau Kuning bijak mengeksploitasi setiap peluang yang terhidang jika mahu dinobatkan sebagai juara pada perlawanan akhir itu nanti.

"Sebarang kesilapan pada perlawanan genting itu pasti membawa padah dan ini yang saya mahu pemain Kedah elakkan.

"Saya yakin Dollah Salleh (ketua jurulatih Selangor) sedang melakukan sesuatu terhadap pasukannya kerana inilah satu-satunya peluang mereka yang tinggal pada musim ini untuk meraih kejayaan," kata Azraai.

Menurutnya Selangor tidak mungkin dapat menyembunyikan dendam akibat kekalahan 2-3 kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala FA selain mahu melakar impian pada edisi ke-83 ini dengan menjuarai Piala Malaysia bagi kali ke-33.

Kedah mencapai kemenangan besar dalam tiga pertemuan kedua-dua pasukan itu musim ini iaitu dua kali pada pertandingan Liga Super iaitu 6-2 pada perlawanan pertama dan menang 1-0 pada pertembungan kedua.

Pada perlawanan akhir Piala FA Kedah menang 3-2.

Menurutnya, semua pemain Kedah kini berada dalam keadaan yang memuaskan termasuk penjaring terbanyak, Marlon Alex James dan Mohd Fadly Baharom yang bebas daripada sebarang kecederaan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz berkata pemain Kedah berazam mengulangi kejayaan yang dicapai tahun lepas untuk dijadikan hadiah kepada peminat No. 1 Hijau Kuning, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena pemerintahan 50 tahun baginda tahun ini.

Selasa, Ogos 19, 2008

Cuti Sekolah? Sebenarnya Minggu Yang Sibuk

Minggu ini adalah minggu cuti persekolahan pertengahan penggal kedua. Yang seronoknya ialah kanak-kanak, tersenyum sendirian bila mengimbas kembali memori tersebut. Main layang-layang di sawah padi, berbasikal keliling kampung-kampung bersama tema, mandi-manda di anak sungai dan macam-macam lagi yang tak mampu disenarai kesemuanya di sini. Masa begitu pantas berlalu, tanpa belas kasihan terus meninggalkan kita. Masih teringat rakan lama, saudara Anuar berpesan, "Semalam Adalah Kenangan, Hari Ini Adalah Kenyataan dan Esok Sudah Tentu Cabaran"!

Ahad, 17 Ogos 2008:
Bersama isteri ke kedai lampu dan kipas hiasan di Bukit Baru, Melaka sebagai persediaan masuk ke mahligai baru ami yang dijadualkan bulan ini juga. Kos kesemuanya melebihi seribu ringgit. Emmm... baru lampu dan kipas, belum dikira wirering dan gril lagi. Etahlah zaman sekarang banyak pakai duit, mujur ada simpanan, kalau tak, berkerut gak dahi ni. Khabarnya majlis penyerahan kunci rumah akan disempurnakan sendiri oleh Ketua Menteri Melaka. Hrap tu sebelum bulan puasa, senang nak kemas.

Sebelah petang pula terima panggilan daripada rakan lama, Ustaz Mahathir dari Johor Bahru bersama kontinjen negeri untuk Majlis Tlawah Al-Quran peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat seluruh negara. Apa lagi, dah lama tak jumpa, dia ajak minum petang. So, kami minum di Restoran Kari Kepala Ikan, Bukit Katil saja. Lagipun isteri puasa, kena balik awal untuk teman dia berbuka.

Isnin, 18 Ogos 2008
Ke Tabung Haji, Bandar Melaka keluarkan apa yang patut untuk menampung mana yang kurang. Kebetulan jumpa Abg. Hashim, terus diajak sarapan. Kemudian, terus ke Ibu Pejabat KWSP Melaka di Ayer Keroh untuk mengeluarkan kesemua baki yang ada. Namun, terpaksa datang esok kerana kena isi borang dan disahkan oleh majikan dulu. Petangnya, Ustaz Mahathir ajak minumlagi bersama rakannya. Jadi, kenalah bawa kereta jemput mereka.

Selasa, 19 Ogos 2008
Pagi tadi menduduki Peperiksaan PTK untuk kali ke-3 setelah sebelumnya hanya mencatat keputusan 3-3 (layak dinaikkan pangkat menerusi time base). Harap ada rezeki kali ini. Jam 1, selepas selesai semuanya, terus ke KWSP semula untuk serah borang semalam. Selesai urusan, kenalah tunggu keputusannya dalam jangka masa 21 hari. Jam 4.30, ambil isteri dan anak dan tak ke mana, lagipun Ustaz Mahathr ada urusan lain.

Bagaimana pula dengan esok???
Bersama Ustaz Mahathir (tengah) dan Ustaz Zul. Kedua-duanya cacat penglihatan. Gambar diambil pada tahun 2001 semasa merisik isteri Ustaz Zul dahulu di Kuantan, Pahang.

Makluman Kehilangan Kenderaan

Salam Sejahtera,

Mohon bantuan mencari dan maklumkan jika terserempak;
Kereta: Toyota Camry, WQH 6786
Warna: Biru Tua
Tahun: 2008
Hilang pada: 19 August 2008 pagi di Bangsar, Kuala Lumpur

Jika ada ternampak, sila hubungi balai polis berdekatan atau tuan punya kereta, saudara Bob @ 9W2ICE di talian 012-283 0002. Mohon disebarkan makluman ini. Terima kasih.

Khamis, Ogos 14, 2008

Memori 1985... Mencari Yang Terpisah



Bergambar kenangan bersama rakan-rakan yang hilang entah ke mana. Harap di bulan Sya'ban yang mulia ini, mampu menemukan insan yang lebih 20 tahun terpisah. Ingin rasanya bertemu anda semua untuk mengulit kembali kisah-kisah silam yang begitu indah dan tetap segar dalam ingatanku. Andai anda salah seorang daripada mereka, hubungilah daku segera. Foto ini dirakam di hadapan Muzium Sarawak, 1985.






Ketika berusia 6 tahun, majlis 'graduasi' semua murid TADIKA Kem Penrinssen, Kuching, Sarawak, 1985. Bilakah agaknya dapat melawat ke sana...?

Rabu, Ogos 13, 2008

Majlis Resepsi Jaafar dan Isteri

Tarikh : 10/08/2008
Masa : 2 PM
Vanue : 764-2, Solok Bkt. Pulau, Bkt. Baru, Melaka

Malam sebelum majlis, nenek menggunting helaian rambut anak Abg. Wazi yang baru dilahirkan.
Melepaskan dahaga, Jaafar sempat meneguk air tanda kehausan setelah lama menanti ketibaan pengantin perempuan dari Bt. Berendam, Melaka
Ayu, Nisah sempat bergambar kenangan bersama kek tingkat kegemarannya.


Bersama pasangan mempelai, (duduk dari kiri) Alin, Nabilah dan ibu saudaranya, Suhaili. Manakala Mak Cik Saodah (sebelah Jaafar) dan Suraya (sebelah pengantin perempuan).
p/s : Moga kekal bahagia ke anak cucu dan ke akhir hayat, insya Allah...

Selasa, Ogos 12, 2008

Kenangan Gathering 2006

Memori bersama rakan-rakan emel group oku_boleh. Masih segar dalam ingatan ketika bersama. Khabarnya tahun ni Melaka jadi tuan rumah, harap-harap jadilah ye...

Zila, Fairuz, Abian, Lynn dan Raihan

Shima, Mastura, Ros, Eid, Mustaffar dan Hashim

Ajai, Mustaffar dan Ezaruddin

Eid dan Gee

Aida

Fazli


Nazlan

Syafiq, Lynn, Abian, Hashim dan Adam

Normawal

Hashim dan Salbia

Isnin, Ogos 11, 2008

Moga Fasihah Cepat Sembuh!

Salam kami sekeluarga dari kejauhan, moga Fasihah BInti Yusof cepat sembuh dan kembali sihat sepert sedia kala. Kini beliau ditempatkan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Sultan Abd. Halim, Sg. Petani, Kedah sejak seminggu lepas denan ditemani bondanya iaitu Mak Teh Ani. Khabarnya air kencing beliau kotor dan menurut bonda di kampung, mukanya mulai bengkak mungkin disebabkan komplikasi buah pinggang dan tekanan darahnya juga tinggi. Kasihan melihat beliau terlantar kerana usianya masih kanak-kanak, sudah merasai kepayahan dan kesusahan. Kepada Pak Teh dan Mak Teh, banyakkan bersabar, mungkin ada hikmah yang tersirah semua yang terjadi. Pasrah dan regha dengan ketentuannya disamping sentiasa memanjat doa, moga penderitaan si kecilnya cepat normal. Kalau dekat, dah lama kami ke sana melawatnya. Oh! ya, gambarnya juga ada bersama-sama sebahagioan keluarga bonda di barisan depan, berbaju pink.

Sabtu, Ogos 09, 2008

Sekitar Sambutan Hari Keluarga SBM Cawangan Melaka 2008

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga scan gambar semasa Hari Keluarga SBM Melaka. Untuk rekod, sambutan tersebut telah diadakan pada 20 Julai 2008, bertempat di Harbour Club, Melaka Raya, Melaka. Di sini disertakan beberapa keping gambar buat tatapan semua.
Abang Hashim di depan meja makan.


Debaran semasa menunggu detik melukis untuk kanak-kanak. Wawa (baju pink), Azira (tengah) dan Wani.


Nikmati makan tengah hari di bawah pohon kelapa, Wawa (kiri) dan Azira.

Thariq Haikal juga tak lepaskan peluang main air kolam bersama Wani dan Wawa disamping isteri.

Khamis, Ogos 07, 2008

Program Lawatan Orari-Astra Mega Eyeball

Dimaklumkan bahawa satu lawatan Orari dari seberang akan diadakan pada 23 dan 24 Ogos ini bertempat di Tapak Perkhemahan Awana Genting Highlands, Pahang. Bayaran seorang RM15.00 manakala untuk satu keluarga berjumlah RM35.00 serta akan diberikan t-shirt program. Info lanjut, sila hubungi Saudara Faizal (9W2GTR) di talian 012-310 9869

Rabu, Ogos 06, 2008

Terima Kasih Daun Keladi

Sesungguhnya saya amat berterima kasih dan terharu dengan sokongan yang saye terima di dalam mengumpul dana buat pelajar saya. Hanya Allah saja yang membalas sumbangan anda semua. Terima kasih kepada Tn. Hj. Razak, En. Aziz Lani dan seorang penderma awam kerana sumbangan anda. Jumlah terkini pada saya sekarang ialah RM290.00 sementara pihak sekolah pula berjumlah RM578.00 dan jumlah keseluruhannya ialah RM868.00. Kesemua sumbangan ini akan kami sampaikan kepada waris beliau sebelum mereka sekeluarga bertolak ke HUKM Ahad ini, insya Allah. Sama-samalah kita berdoa agar Allah memberkati usaha kami dan memurahkan lagi rezeki mereka sekeluarga. Terima kasih sekali lagi.

Selasa, Ogos 05, 2008

Selamat Pulang Bonda

Alhamdulillah, akhirnya bonda selamat sampai ke tanah besar dengan selamat setelah berada di Pulau Lagenda, Pulau Langkawi, Kedah selama kira-kira 3 hari 2 malam. Pemergian bonda ke sana untuk pertama kali dalam hidupnya adalah untuk menziarah anakanda bongsunya di sana. Namun, di hati kecilnya terselit sedikit kecewa apabila gagal untuk mengunjungi beberapa tempat menarik di sana kerana kesibukan anakandanya. Tak pa lah bonda, ada rezeki nanti kami boleh bawa bonda bersama ayahanda ke sana, kita makan angin ok! Tambahan pula adanya keluarga angkat anakanda iaitu Pengarah Urusan Zaiton Travel lebih memudahkan urusan.

Terima Kasih Semua Peserta OUM Unit 6

Di sini, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua rakan-rakan yang sudi menyumbang dana pagi tadi dalam membantu anak murid saya Mohd. Redzuan untuk menjalani pembedahan matanya pada cuti sekolah nanti. Tidak ketinggalan juga kepada En. Khairul, pensyarah Psikologi saya kerana turut serta menyumbang. Hanya Allah sahaja yang membalas budi baik anda semua nanti insya Allah. Diharap juga, moga keluarga insan ini tabah menghadapi ujianNya, mungkin ada hikmah di kemudian hari.

Isnin, Ogos 04, 2008

Pasukan Bola Sepak Kedah Antara Kelab Terbaik Dunia

Undian yang dijalankan oleh International Federation of Football History & Statistics mulai 1 Ogos 2007 hingga 31 Jlai 2008 meletakkan pasukan bola sepak Kedah atau Kenari kini menghuni tangga ke-111 kelab terbaik dunia berbanding tangga 163 sebelumnya. Tahniah jurulatihnya Mohd. Azraai Khor Abdullah yang membimbing kelab ke tahap yang terbaik kini selain jasa allahyarham Dato' Ahmad Baski Akil. Biar Jasa Jadi Kenangan dan moga Piala Malaysia 2008 kekal setahun lagi di bumi Jelapang Padi insya Allah.

Ahad, Ogos 03, 2008

Kempen Kitar Semula

Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Melaka, Jalan Semabok besama Persatuan Ibu Bapa dan Guru mengadakan satu kempen Kitar Semula yang akan dijalankan seperti berikut;

Tarikh : 4 hingga 8 Ogos 2008
Masa : 8 pagi hingga 1.30 tengah hari. 3 hingga 4 petang
Vanue : Setor tempat letak kereta


Kepada semua warga Malaysia yang budiman, sumbangan anda amat diharapkan untuk menambah dana Tabung PIBG sekolah berkenaan. Sebarang Pertanyaan, sila hubungi En. Shahrul Fazli Mohd. Nordin di talian 016-644 2853. Terima kasih

Khamis, Julai 31, 2008

Perutusan Tahniah

Sekalung tahniah buat Pak Cik Zul atas penganugerahan kenaikan pangkat daripada Koperal ke Sarjan. Murah rezeki anak. Moga bersemangat menjalankan tugas dan ceria-ceria selalu di samping keluarga tersayang. Bolehlah buat kenduri panggil adik-beradik turun Perlis.

Rabu, Julai 30, 2008

Dilema Pengasuh

Dah dua hari kami suami isteri memikirkan punca sebenarnya yang tejadi terhadap suami kepada pengasuh kami. Pagi semalam adalah kemuncaknya bila pengasuh hubungi saya menyanyakan kenapa tak bekalkan anak dengan minyak yu yee dan jajan. Saya jelaskan buat masa ni, kami agak sibuk dengan tugas masing-masing tambahan pula hujung minggu lepas rumah mertua ada kenduri arwah dan keesokannya kami pula buat kenduri kesyukuran. Selepas panggilan pertama, suaminya pula telefon terus marah-marah dan untuk mengelakkan suasana lebih tegang, saya mengiyakan saja apa dia cakap.

Petang semalam saya cuba terangkan pada pengasuh yang kami agak sibuk sikit dalam seminggu dua tapi dia nampak macam tak nak mengalah. Bila dalam kereta masa balik rumah semalam, terfikir adakah wang yang diberi tiap bulan tak cukup? Kalau betul kenapa tak terus-terang saja? Di awal perjanjian dahulu, masing-masing dah setuju dengan sejumlah bayaran, kalau tak cukup kami rela menambah lagi jumlahnya asalkan putera kami dijaga dengan selamat. Atau mungkinkah saya ada menegurnya dulu kerap ambil cuti membuatkan kami pula yang terpaksa cuti. Jadi, saya dah terus-terang bahawa cuti kami tak banyak dalam setahun, baki cuti saya tinggal 3 hari lagi manakala isteri pula tak sampai 2 minggu. Itu tak termasuk nak balik raya lagi tahun ni dan cuti kecemasan yang terpaksa diambil tanpa diduga lagi. Bila diberitahu bahawa cuti saya hanya 7 hari dalam setahun, dia terkejut kerana sangkanya tugas macam saya ni banyak cuti.

Ataupun satu lagi dia terasa kot bila saya hubunginya menyatakan yang anak kami keracunan awal bulan ni. Bila sebut keracunan saja tanpa sempat menjelaskan yang lain, dia terus nafikan ia terjadi di rumahnya dan menyalahkan pula kami mungkin penyebabnya di rumah. Namun, saya tegaskan bahawa saya hanya menjelaskan laporan doktor dan tak menyalahkan sapa-sapa, baru dia diam.

Mungkin jugak dia sibuk sebab la ni dia berniaga depan rumahnya. Entahlah, pening nak fikir. BIla tanya ada apa masalah ka, dia kata tak da. Mungkin perkhidmatannya sampai di hujung bulan ni saja bila mak saudara isteri menawarkan diri untuk menjaga si kecil yang lincah tu.

Selasa, Julai 29, 2008

Kenali Personaliti

Teruja bila mendengar penerangan Kanselor Cikgu Nasaruddin berkenaan mengenali identiti seseorang. Kami satu kelas diuji dengan setiap orang menulis namanya, tarikh lahir, anak ke berapa?, jika diberi pilihan, haiwan apakah yang kami nak jadi, kereta idaman dan akhir sekali diminta melukis pokok. Menurut beliau, melalui gambaran pokok, beliau dapat memahami apa yang sebenarnya yang ada dalam diri seseorang. Ia turut diperkuatkan lagi dengan beberapa ujian pada kliennya. Nak tahu jawapan seterusnya, cuba anda pula yang buat sepertimana di atas tadi. Jom kita cuba!

Isnin, Julai 28, 2008

Dikejar Masa!

Kepada semua pengunjung yang budiman, dalam sehari dua ini saya betul-betul keletihan sampaikan tak sempat nak kemas kini blog. Apapun, terima kasih kerana sudi melawat blog saya, insya Allah saya akan publishkan beberapa catatan baru, terima kasih.

Ahad, Julai 27, 2008

Selamat Berkursus

Kami juga ingin merakamkan selamat berkursus buat pembantu saya, Cik Siti Zubaidah selama 3 hari bertempat di Universiti Multimedia, Melaka. Moga kembali bertugas dalam mood bersemangat dari tempat kursus. Jangan asyik SMS je tau! :-)

Selamat Datang!

Kami sekeluarga mengucapkan selamat datang pada Cik Azura dari Batu Berendam, Melaka yang sudi datang untuk menggantikan tempat saya di ofis sepanjang sepeninggalan saya ini. Harap anda cepat menyesuaikan diri di sana dengan budaya kerjanya. Moga anda gembira dan jangan sepah-sepahkan meja saya tau! he he...

Khamis, Julai 24, 2008

Selamat Berangkat Abang Hashim

Kami sekeluarga mengucapkan selamat berangkat Abang Hashim dan Kak Sal ke Pasir Mas, Kelantan malam ini untuk menghadiri satu jamuan walimatul urus di sana pada hari Sabtu ini. Sementara malam minggunya mereka berdua akan bermalam di Hotel Zainun, Rantau Panjang, Kelantan dan akan bertolak pulang ke Melaka semula keesokannya. Mesti Kak Sal shopping sakan kan tapi jangan bawa balik bom sudah lah abang sebab dah dekat dengan sempadan tu, he he...

Isteri Yang Sentiasa Dara

Petua daripada Dr. Fatimah Az-Zahra

Ustazah menurunkan petua untuk kaum ibu menjaga diri agar sentiasa jadi macam 'abqaro' menurut ayat di dalam Surah al-Waqiah. ("Abqaro" ini bermaksud perawan yang sentiasa menjadi perawan) Ayat ini elok untuk diamalkan setiap hari oleh kaum ibu untuk menjaga kesihatan luar dan dalam.

Caranya:

Lepas solat Isya', ambil air segelas, baca Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Niat dlm hati utk menjaga kecantikan diri & utk kebahagiaan rumahtangga.

Makna surah Al-Waqiah ayat 35-38:
(56.35) Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, 56.36) Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), (56.37) Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya, (56.38) (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan.

Lanjutkan kepada kaum ibu dan isteri tuan2 semoga ada manafaatnya.

Study, study... jangan tido pulak!

Emm...belum apa-apa, dah ada ujian pagi esok topik Prinsip Teknologi Pendidikan, bab 1 dengan kaedah ujian berdasarkan 'open book test'. Apapun aku kena ambil langkah berani dengan menempuh dugaan dan cabaran ini untuk keluarga dan masa depan juga. Ingat, bulatkan tekad, kuatkan nekad dan semangat di samping tawakal insya Allah. Kepada kawan-kawan semua (Unit 6, OUM), selamat meduduki ujian dengan tenang esok okey! See You di OUM he he...

Rabu, Julai 23, 2008

Kedah Kembali Terajui Kumpulan B

Kedah kembali mencerahkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia apabila membelasah Pulau Pinang 6-2 sebentar tadi. Walau bagaimanapun Kedah terpaksa menghadapi detik sukar apabila terpaksa berada di belakang seawal minit ke-9 apabila Pulau Pinang mendahului melalui Farizal Rozali akibat kesilapan Fazliata. Keadaan bertambah cemas apabila V. Thirumurugan pula menjaringkan gol sendiri pada minit ke-18.

Namun Kedah tidak mengalah dan terus mengasak dan hasilnya pemain sensasi Kedah, Mohd Fadly Baharom menjaringkan gol pertama pada minit ke-33. Keadaan bertambah mudah buat Kedah apabila Farizal Rozali dilayangkan kad merah oleh Lee Chong Seng apabila menendang Victor dari Belakang pada minit ke-38.

Kelebihan itu pantas digunakan Kedah apabila tiga minit berselang, Fadly sekali lagi menjaringkan gol untuk kembali mengikat kedudukan 2-2.

Separuh masa pertama Kedah 2 Pulau Pinang 2

Sebaik sahaja bermula separuh masa kedua, Kedah terus mengasak dan hanya enam minit diperlukan untuk Kedah kembali di depan melalui Mohd Khyril Muhymeen Zambri. Lapan minit kemudian, Nelson San Martin menjaringkan gol melalui sepakan dari luar kotak penalti untuk melebarkan kedudukan kepada 4-2.

V. Thirumurugan menebus kembali kesilapan beliau apabila hasil gerakannya berjaya disudahkan oleh Mohd Khyril Muhymeen pada minit ke73 dan seminit kemudian Marlon Alex James pula menambah derita Pulau Pinang melalui satu tandukan untuk kedudukan 6-2.

Pada perlawanan malam ini seorang lagi pemain muda diperkenalkan oleh Azraai Khor iaitu Mohd Faizal Abu Bakar yang masuk menggantikan Nelson San Martin.

Perlawanan tamat dengan kemenangan 6-2.

Kad Kuning: Nelson San Martin,64’

Kedah: Abdul Hadi Abdul Hamid, V. Thirumurugan, Cornelius Benard Hugging, Victor Andrag, Fazliata Taib, Baddrol Bakhtiar (Rafiz Abu Bakar,80’), Sabree Abu, Nelson San Martin (Mohd Faizal Abu Bakar,66’), Mohd Fadly Baharom (Samransak Kram,85’), Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Marlon Alex James.

Kenangan Gathering 2006

Bila agaknya boleh jumpa depa sekeluarga nie ha? Dah lama tak jumpa kan! Gambar diambil semasa gathering email group iaitu oku_boleh di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, K. Lumpur, 18 November 2006

Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong 2008 Kelolaan Jabatan Perkhidmatan Awam

Permohonan adalah dipelawa daripada semua warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Tahun 2008 bagi mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran di dalam dan luar negara dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi dan Undang-undang. Info lanjut, sila layari www.jpa.gov.my

Selamat Berkursus!

Kami sekeluarga mengucapkan selamat berkursus buat Pn. Rohani Bte. Mat Ali dan Pn. Suryani Bte. Ismail menghadiri Kursus Biro Tata Negara (Kenegaraan) bermula pada esok 24 Julai hingga 28 Julai 2008 di Pusat Latihan Kemah Bt. 13, Bt. 3/4, Jln. Mahmood, Parit Jawa, 84 150 Muar, Johor. Moga anda berdua lulus dengan cemerlang di akhir kursus tersebut.

Rayuan Bantuan Kewangan

Untuk pengetahuan semua, anak murid saya Mond. Redzuan Bin Hirman berusia 14 tahun perlu menjalani pembedahan matanya di HUKM, K. Lumpur pada hari Isnin, 18 Ogos 2008. Justeru, pihak keluarganya ingin merayu sedikit bantuan kewangan memandangkan kos pembedahan tersebut berjumlah RM2,200. Bapanya Hirman Shafie Ho Bin Abdullah hanya bekerja di kilang dan ibunya hanya pembantu kedai. Harap semua warga Malaysia yang prihatin hulurkan sedikit bantuan untuk meringankan bebanan keluarga beliau. Terima kasih semua.
Hubungi Hirman Shafie Ho di talian 012-259 7093 dan nombor akaun banknya untuk makluman semua. Akaun HSBC: 342575180025

Selasa, Julai 22, 2008

Surat Siaran KPM

Surat siaran berhubung cuti peristiwa dan cuti berganti sempena sambutan Hari Deepavali 2008 dan Hari Raya Aidil Fitri 1429 Hijrah telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. sila ke link di bawah untuk muat turun surat siaran berkenaan.

www.emoe.gov.my

Isnin, Julai 21, 2008

Struktur Kursus Asas

Bil. Nama Subjek & Kredit
1. English for Written Communication : 3
2. English for Oral Communication : 3
3. Learning Skills for Open & Distance Learners : 3
4. Pengukuran & Penilaian dalam Pendidikan : 3
5. Psikologi Pendidikan : 3
6. Bimbingan dan Kaunseling : 3
7. Prinsip Teknologi Pengajaran : 3

Jumlah 21 Kredit (315 jam)
1 Kredit 15 jam

Sekitar Debaran Lapor Diri

Pagi tadi aku sampai agak lewat kerana hujan lebat. maklumlah memandu dalam keadaan yang tak sempurna, terpaksa perlahankan kenderaan. Setiba di IPPM, aku park kereta dekat dengan kafeteria, tempat lain dah penuh. Seterusnya aku pun tak tau ke mana arah tuju sebab IPPM belum pernah aku masuk lagi. Aku cuba fon pensyarah, En. Azman tapi tak berjawab, lepas tu cuba call pula Cik Haslita (wakil OUM) tapi pun tak berjawab. Hujan lebat, mujur ada payung kat belakang. Aku buka pintu dan terus ke arah seorang wanita dalam usia 40-an untuk bertanya arah, nampak pakaiannya macam pensyarah. Dia kata Dewan Besar, jadi dalam keadaan hujan lagi aku terus meluru ke blok berhampiran tanpa terlebih dulu tanya dia lokasi sebenar. Setiba di situ, aku cuba tanya pula awek reception kat situ arah sebenar dewan, dia kata bukan blok ni, kena menyusur di lorong pejalan kaki kat kafeteria tadi, terus dan akan jumpa dewan kat situ. Emm...agak jauh jugak aku rasa, jalan pun kena berhati-hati. Akhirnya jumpa jugak Dewan Besar IPPM dan aku terus meluru ke kaunter pendaftaran dengan mengeluarkan MyKad dan salinan surat tawaran kursus. Mujur sampai awal, kalau tak salah aku, pendaftaran dibuat secara online seluruh negara dan akan tutup taliannya tepat jam 10:30 pagi. Dianggarkan jumlah yang mendaftar pada kali ini seramai 183 calon dengan jumlah besarnya seluruh negara seramai 4,800 calon kali ini.

Setelah selesai, aku diarahkan pula ke kaunter semakan iaitu untuk menentukan kumpulan mana aku nanti dan katanya aku dalam kumpulan 6. Rata-rata aku tak mengenali sesiapapun di situ hinggalah sesi taklimat tamat untuk berhenti minum pagi. Menunya telah disediakan iaitu mihun goreng, mee goreng dan teh panas. Yummy, sedap tu dengan hujan masih mencurah. Selesai makan, aku duduk di satu sudut tiang sambil membelek isi kandungan fail semasa pendaftaran tadi. Sedang leka membaca, tiba-tiba aku disapa seseorang. "Woi! kenal aku tak? sambil ketawa kih kih kih!". Dalam ati aku, sapa pulak mamat ni tak bagi salam. Bila direnung lama, barulah aku kenal, rakan lama aku semasa di MPIK dulu, Saudara Shahrul Fadzli (Wak) tapi dah simpan misai mamat ni. Patutlah tak kenal. Kini beliau di Sekolah Kebangsaan Pend. Khas Semabok, Melaka menyandang jawatan Guru Penolong Kanan Ko-Ku. Hmm... muda-muda lagi dah naik pangkat. Rezeki dia kan. Apa lagi, dah lama tak jumpa, tambahan dia satu group dengan aku.

Taklimat diteruskan hingga jam 12.30 tengah hari dengan kami dibekalkan 7 buah buku modul berkaitan kursus untuk dihabiskan dalam masa 14 minggu. Bayangkan? Kena baca kulit ke kulit pula tu! :-) Menu tengah hari yang dihidangkan, sambal sotong+perut, sayur kobis, ayam masak kurma, sambal belacan dengan ulam-ulam dan 4 jenis air minuman. Hebat kan! Kursus makan. Selesai makan, si Wak ni balik sebentar uruskan anak kecilnya sebelum kami mula jam 2.30 petang nanti. Masa tu aku ambil kesempatan untuk berehat je di kafeteria sambil baca akhbar.

Tepat 2.30 petang, sidang bersambung dengan kami dipecahkan dengan kumpulan kecil dan disertai juga mentor kami iaitu Tn. Hj. Badrul Hisham Bin Ismail. Di dalam kumpulan kecil dengan 29 ahlinya, 4 Cina, 2 India, selebihnya Melayu dengan kaum Adam hanya 9 orang saja, kami mengenali antara satu sama lain dengan masing-masing bangun kenalkan diri hinggalah jam 4 petang di mamna sesi ditangguhkan ke esok ari. Sementara menu minum petang ialah roti jala dengan teh-o. Esok sambung lagi dengan kursus makan...

Hari Lapor Diri

Berdebar-debar rasanya nak melangkah kaki ke IPPM (Institut Perguruan Perempuan Melayu), Durian Daun, Melaka sat g. Maklumlah dah lama tinggalkan suasana kat maktab dulu. Tambahan pula, belum tahu lagi rakan-rakan yang ada di sana. Kalau ada yang kenal tu senang lah sikit urusan. Ok, apa-apa petang atau malam sat g aku perita pula suasana hari pertama di sana.

Sekitar Sambutan Hari Keluarga SBM Cawangan Melaka

Alhamdulilah syukur sambutan yang dirancang telah disempurnakan dengan jayanya semalam. Terima kasih Abang Hashim dan semua yang terlibat di dalam program berkenaan kerana sudi menjemput kami sekeluarga ke sana sebagai tetamu. Terima kasih juga kepada pihak Petronas kerana sudi menyumbangkan topi & t-shirt sebagai cendera hati kenang-kenangan buat semua keluarga yang hadir. Tidak ketinggalan, terima kasih juga kepada semua yang menyumbangkan idea mahupun sumbangan dalam menjayakan majlis ini. Teringat ketika majlis Hari Keluarga Lepasan St. Nicholas Home, P. Pinang yang saban tahun kami sekeluarga sertai tapi ia lebih bermakna kerana berlangsung selasa seminggu. Apapun, tahniah buat SBM Kawasan Melaka kerana berjaya menjalankan majlis dengan jayanya.

Ahad, Julai 20, 2008

Adik & Kakak Sambung Belajar

Along... Sesungguhnya kami sekeluarga amat berbangga dengan semangat juang dan jiwa kental along dalam menempuhi liku-liku kehidupan. Moga ada hikmahnya di penghujung nanti. Sebenarnya kami teruja along kini terus melangkah ke depan, mengikuti Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Sains Malaysia, Minden, P. Pinang. Harapan kami moga along berjaya di hujung sesinya nanti, insya Allah

Begitu juga dengan angah yang banyak berahsia ye... he he :-) Khabarnya Angah tinggal setahun je lagi untuk menamatkan pengajian ijazah perguruannya secara jarak jauh. Sampai la ni abang tak tau angah amik kos apa? kat mana? dan macam-macam lagi.

Turut tidak ketinggalan alang. Amboi! laju sangat kemajuan alang ni dalam pendidikan. Dulu baru abih buat ijazah dalam bidang muzik kat Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pastu terus sambung buat master lak kat vanue yang sama. Tak penat ke tiap-tiap minggu ulang-alik KL-UPSI? Bidang yang sama gak ke alang?

Sementara adik yang bongsu kini di Pulau Lagenda Langkawi untuk mengikuti praktikal fasa akhirnya dalam bidang kraf. Abang harap adik cuba berdikari sendiri tanpa pertolongan sapa-sapa termasuk mak dan abah. Bukan apa, ada kemanisan di sebalik semua tu. Abang belajar kat Maktab Perguruan ILmu Khas, K. Lumpur dulu cuba hidup bersendirian sebab kita sedia maklum keluarga kita tak senang dan tak susah. Abang Man, Mak Long Chom dan Pak Long Mid je tempat abang mengadu. Elaun yang abang terima dulu hanya RM280 tapi alhamdulillah, dapat maintain sampai hujung bulan. Menu sarapan cuma roti kering, tengah harinya nasi bungkus RM1 dan malam pula nasi putih+sambal belacan+telur dadar+timun atau tomato mentah yag dibuat ulam dan air suam. masa tu abang fikir bukan senang nak senang tambahan dok kat KL yang banyak belanja. kalau dah muak sangat, baru abang bertandang ke rumah mak long. He he rumah mak long macam-macam ada, terima kasih mak long dan pak long selama ini. Bila mak tanya ada duit tak, abang cakap ada sedangkan masa tu sengkek sangat. Tapi abang percaya kos yang adik amik perlukan belanja yang lebih kan? Tambahan pula adik perempuan, macam-macam nak beli :-) Harap adik dapat jaga diri dan nama baik keluarga kita di tempat orang dan pesan abang jangan cepat mudah percaya pada orang yang baru kita kenal. Setahun dua belum tentu dik.

Akhir kata, inilah serba-sikit perkembangan terbaru keluarga kami yang nun jauh di Kg. Bujang, Merbok, Kedah nun...

de,
9W2CIQ

Sabtu, Julai 19, 2008

Sambutan Hari Keluarga SBM Cawangan Melaka 2008

HARI KELUARGA PERTUBUHAN ORANG CACAT PENGLHATAN
CAWANGAN NEGERI MELAKA


TARIKH : 20 JULAI 2008
MASA : 0900HRS - 1530HRS
VANUE : HARBOUR CLUB, MELAKA RAYA, MELAKA

TENTATIF PROGRAM

0900: Pendaftaran Peserta
1000: Taklimat
1030: Sukaneka/Pertandingan Mewarna
1245: Rehat/Makan Tengah Hari (ditaja oleh Mc'Donalds Mahkota Parade)
1345: Karaoke
1500: Penyampaian Hadiah & Hamper

* Setiap keluarga ahli berdaftar akan menerima cendera hati berupa topi dan t-shirt
** Setiap keluarga bukan ahli hanya menerima hamper iringan
*** Borang keahlian SBM Cawangan Melaka akan diedarkan pda hari berkenaan
**** Keahlian terbuka kepada semua berumur 18 tahun dan ke atas

Terima Tawaran Belajar

Alhamdulillah, syukur padaNya. Tanggal 15 Julai 2008 telah mengubah senario hidupku kini dan mungkin juga buat keluargaku tercinta. Aku diterima masuk ke Institusi Pndidikan Perempuan Melayu (IPPM), Melaka untuk mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP) 14 Minggu Pra Sarjana Muda Pengajaran, Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Open Universiti Malaysia (OUM) atau ringkasnya KDP14M Pra Sarjana Muda Pengajaran PJJ, KPM/OUM. Pengajian tersebut bermula Isnin ini, 21 Julai 2008. Seandainya ada rezeki di hujung pengajian nanti, insya Allah aku akan sambung lagi mengikuti pengajian secara PJJ pula tiap hujung minggu. Enam tahun menggenggam diploma, nak juga ada kemajuan diri untuk keluarga tercinta. Mungkin juga rezeki anak, sumber inspirasiku Thariq Haikal. Apapun, aku akan buktikan aku juga mampu berjaya sepertimana yang lain. All the best & good luck my self!

Salam Pengenalan!

Assalamualaikum dan salam muhibah buat semua. terima kasih kerana sudi melawat blog saya. ini sebagai permulaan pengenalan daripada saya dan saya akan cuba kemas kini blog saya ini dari semasa ke semasa, terima kasih.

de,
9w2ciq

Radio Amatur