Rabu, Ogos 20, 2008

Badrol Ada Misi Tersendiri

ANGAN-angan sejak zaman kanak-kanak bakal jadi kenyataan."
Demikian luahan bintang muda Kedah, Badrol Bakhtiar, 20, yang ingin melakar sejarah dengan membantu pasukannya merangkul enam kejuaraan dalam masa dua tahun berturut-turut.

Impian pemain sayap kanan skuad Kenari itu akan dapat dilihat pada perlawanan akhir saingan bola sepak Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Menurutnya, jika semasa zaman kanak-kanak dahulu dia pernah terfikir untuk mencapai sesuatu yang dapat dijadikan sejarah bersama pasukannya tetapi kali ini dia hanya perlu berusaha berlipat kali ganda untuk menjadikan angan-angan itu satu kenyataan dan sejarah.

"Saya tidak akan melepaskan peluang yang ada untuk merealisasikan impian yang tersimpan selama ini, lebih-lebih lagi jika disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya tidak mustahil untuk Kedah menjuarai Piala Malaysia musim ini memandangkan rakan sepasukan juga begitu bersemangat dan bersedia untuk perlawanan akhir nanti," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Badrol yang pernah berguru dengan bintang Chelsea seperti, Didier Drogba dan Michael Ballack berkata, dia tidak lagi berasa gugup untuk diturunkan pada perlawanan akhir kerana pengalaman yang ada telah memberi keyakinan kepadanya.

Jelasnya, dia bukan mahu bercakap besar tetapi ilmu yang diberikan oleh jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah telah menjadikan setiap pemain lebih yakin ketika berdepan lawan.

Katanya lagi, dia juga berjanji kepada penyokong Hijau Kuning untuk melakukan yang terbaik pada perlawanan itu nanti bagi membantu pasukannya muncul sebagai pasukan pertama yang menjuarai tiga piala dalam masa dua tahun berturut-turut sekali gus tercatat dalam sejarah bola sepak negara.

Dalam keghairahan mengejar kejuaraan terakhir Liga Malaysia bagi musim 2007/08, Badrol juga mengakui, dia perlu mengawal gerakan pemain Selangor yang tidak kurang hebatnya.

"Mereka (Selangor) juga adalah pasukan terbaik pada musim ini jadi kami tidak akan memandang mudah cabaran yang akan diterima sebaliknya akan berusaha mencari yang terbaik untuk meraih kejayaan," ujarnya.

Radio Amatur