Sabtu, September 12, 2009

SELAMAT HARI RAYA

Hari ni dah 22 Ramadhan 1430 Hijrah. Diam tak diam, lebih kurang seminggu lagi kita akan menyambut hari kemenangan bagi semua umat Islam di seantero dunia iaitu Aidil Fitri. Suasana lebih meriah pabila anak perantau pulang ke pangkuan desa kerana senarionya cukup mempersonakan. Daripada udaranya yang nyaman, lentokan pepohon kelapa, pemandangan sawah padi yang menghijau, cahaya pelita di malam hari hinggakan kediaman tradisional cukup mencuit kalbu. Apa tidaknya, raya tahun ni aku tidak pulang ke Kg. Bujang (Lembah Bujang), Kedah kerana tiba giliran beraya di rumah mertua. Ingat lagi tahun lepas bila pulang berkonvoi dengan kakak, perasaanku cukup teruja menyambut hari raya di pangkuan keluarga tersayang.
Jam telah merangkak ke angka 2 pagi namun mataku belum nak lena. Anak dan isteri telah lama diulit mimpi-mimpi indah. Aku hanya bertemankan beberapa klip lagu raya klasik. Pada pandangan aku, lagu-lagu raya klasik tetap segar dalam kenangan atau kini istilahnya malar segar. Daripada liriknya yang diatur cukup mengasyikkan bersama melodi lembut yang mengirinya cukup membuatku tersentuh. Antaranya lagu Selamat Hari Raya (Ahmad Jais), Indahnya Beraya Di Desa (Azlina Aziz), Senandung Hari Raya Untukmu (Dayangku INtan), Selamat Hari Raya (Saloma), Dendang Perantau (P. Ramlee), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman), Suasana Hari Raya (Anuar & Elina) dan banyak lagi. Lagu-lagu ini mengimbau kembali zaman kanak-kanak bersama rakan-rakan di kampung semasa Aidil Fitri kian hampir. Pagi raya pula bersama rakan keliling kampung penuhkan poket hingga ke petang, huhu... Best giler waktu tu. Jauhnya aku berkhayal kerana zaman tersebut tidak akan kembali lagi.
Kini, banyak lagu-lagu raya versi baru namun mereka tewas dek penangan lagu-lagu raya klasik yang tetap menjadi pujaan ramai hingga kini. Di kesempatan ini, kami sekeluarga mohon maaf kepada rakan-rakan yang mengenali kami kerana kami tahu kami tak dapat puaskan semua hati orang. MInal Aidhil Wal Fadhizin, maaf zahir dan batin. Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

Tiada ulasan:

Radio Amatur