Pengenalan
Golongan
orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh
itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani
kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan
hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi
menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.
Definisi
OKU
adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari
segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila
berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri
sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.
Pernyataan Dasar
Dasar
OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan
penuh dalam masyarakat. Dasar ini turut mengutamakan nilai hak
kemanusian seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan
mereka hidup berdikari.
Objektif Dasar
Dasar OKU menetapkan empat objektif berikut:
1.
Memberi pengiktirafan serta penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak
dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
2. Memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama di bawah undang-undang negara.
3. Menghapuskan diskriminasi terhadap seseorang atas sebab ketidakupayaannya dan.
4. Mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.
Strategi
Strategi di bawah Dasar OKU terbahagi kepada 15 bidang seperti berikut:
1. Advokasi
- Meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat terhadap OKU menerusi program yang berkesan.
2. Aksesibiliti
- Memastikan penyediaan persekitaran bebas halangan (barrier-free) termasuk kemudahan di dalam dan luar bangunan, tempat kerja, kawasan perumahan serta ruang awam.
- Meningkatkan penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang mesra OKU dan
- Menggalakkan penyediaan kemudahan serta akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
3. Kesihatan
- Meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk program pencegahan, pengesanan dan intervensi awal (primary care) dan
- Meningkatkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti kepada OKU (secondary and tertiary care)
4. Pemulihan
- Meningkatkan keberkesanan serta memperluaskan program pemulihan sedia ada bagi OKU.
- Mewujudkan program pemulihan baru bagi OKU selaras dengan perkembangan semasa.
5. Pendidikan
- Meningkatkan akses OKU kepada pendidikan di semua peringkat, termasuk pendidikan sepanjang hayat.
6. Pekerjaan
- Membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penggajian OKU dalam semua sektor pekerjaan.
- Menggalakkan OKU bekerja sendiri (self-employed) dan berdikari.
7. Keselamatan Diri dan Perlindungan Sosial
- Melindungi OKU dari segala bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan.
- Memantapkan perkhidmatan dan kemudahan kepada OKU yang layak dan berkeperluan.
8. Perkhidmatan Sokongan
- Memantapkan mekanisme perkhidmatan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
- Menggalakkan penghasilan dan penjualan alat-alat tiruan dan sokongan OKU yang mampu milik.
9. Sosial
- Meningkatkan kemudahan dan menggalakkan penyertaan OKU dalam aktiviti sosial.
10. Pembangunan Sumber Manusia
(i) Membangunkan kapasiti dan menyediakan sumber manusia terlatih serta mencukupi yang memberi perkhidmatan kepada OKU.
(ii) Membangunkan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan OK.
(iii) Meningkatkan penyertaan OKU dalam proses perancangan dan membuat keputusan.
11. Penglibatan Masyarakat
(i) Menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam program pembangunan OKU.
(ii) Menjalin dan memperkukuhkan rangkaian kerjasama multisektor dan multidisiplin.
(iii) Menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat.
12. Penyelidikan dan Pembangunan
(i) Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai OKU serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.
(ii) Memantapkan mekanisme penyelarasan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program-program OKU.
13. Perumahan
(i) Menggalakkan reka bentuk universal dalam pembinaan rumah dan kawasan persekitaran.
(ii) Membuka peluang kepada OKU untuk memiliki rumah.
14. Kanak-kanak OKU
Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk kanak-kanak kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.
15. Wanita OKU
Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk wanita kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.
Penutup
Pihak
Kerajaan amat prihatin terhadap golongan OKU dan penggubalan Dasar ini
merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memastikan OKU mendapat
kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan Dasar OKU memerlukan kerjasama yang
bersepadu daripada semua pihak serta penglibatan pelbagai kementerian,
jabatan dan agensi Kerajaan serta pertubuhan bukan Kerajaan, ahli
akademik, pakar perubatan, pekerja sosial, sukarelawan dan orang ramai.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Kuala Lumpur.
16 November 2007.
* Sumber: www.jkm.gov.my