Jumaat, Ogos 22, 2008

Marlon sedia gempur benteng Gergasi Merah

"SAYA akan tembusi pertahanan lawan."

Itu janji penyerang prolifik Kedah, Marlon Alex James yang bertekad mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Jelas Marlon, dia mahu menjadikan perlawanan terakhirnya itu bersama skuad Hijau Kuning sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Tambah Marlon, dia akan memanfaatkan pentas akhir ini dengan sebaiknya dalam usaha membantu skuad Kenari mencipta sejarah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

"Sebagai seorang pemain profesional, saya menganggap setiap perlawanan adalah sama sahaja walaupun Sabtu ini adalah aksi terakhir saya.

"Malah saya akan berusaha dengan lebih untuk menembusi pertahanan lawan yang sudah pasti akan menutup ruang untuk saya bergerak," katanya kepada Kosmo!

Menurut Marlon, Kedah telah membuat persiapan rapi bagi mengharungi perlawanan tersebut yang dianggap pasti menjanjikan saingan sengit.

"Saya hanya berharap kombinasi bersama pemain muda Kedah akan menghasilkan satu permainan yang mantap sehingga kami dapat membawa pulang piala berprestij itu," kata Malron.

Pemain kelahiran St. Vincent & Grenadine itu terpaksa melupakan niatnya untuk terus menabur bakti bersama Kedah selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak membenarkan penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia musim depan.

Marlon yang menjadi pilihan ramai bagi kategori Pemain Import Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM 2007/2008, muncul sebagai penyerang import paling menyerlah dalam Liga Malaysia musim ini.

Ekoran pencapaian cemerlangnya itu, kelibat Marlon pasti bakal menjadi igauan buat benteng pertahanan skuad Gergasi Merah Kuning yang mahu melakar kejuaraan tunggal musim ini.

Radio Amatur