Rabu, Ogos 20, 2008

Layan Selangor seperti biasa

ALOR STAR - Antara Kedah dengan Selangor, jika dua pasukan ini bertarung, ia pasti mengubah sedikit suasana muram bola sepak negara yang hala tuju masa depannya semakin bercelaru apatah lagi kedua-dua gergasi bertemu dalam final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Kedua-duanya sama hebat jika sandaran penyokong diambil kira, cuma Kedah mempunyai rekod lebih cemerlang setiap kali bertemu Selangor termasuk kejayaan paling terbaru, menewaskan pasukan Lembah Klang itu 3-2 untuk menjuarai Piala FA musim 2007/2008.

Itu cerita Piala FA sedangkan dalam siri akhir Piala Malaysia, ini adalah kali pertama Kedah sebagai penyandang juara Piala Malaysia bertemu Selangor dalam perlawanan akhir, pertemuan ibarat 'buku dengan ruas'.

Bagaimanapun, jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah tidak menganggap kedudukan itu sebagai kesukaran buat skuad bimbingannya memandangkan dalam aksi Liga Super dan Piala FA, Kenari sudah lama mengenali Red Giants.

''Kita (Kedah) telah berkali-kali bertemu Selangor, biar apa sahaja perlawanan pun, ia adalah pasukan sama yang akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia," kata Azraai yang telah membawa kejayaan Kedah muncul juara berganda apabila merangkul gelaran Liga Super dan Piala FA musim 2007/2008, ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Hijau Kuning di Stadium Darulaman, di sini, semalam.

Azraai yang kini memburu gelaran treble jika berjaya menjulang Piala Malaysia berkata, Kedah kini siap sedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan akhir tersebut apabila kesemua pemain mempunyai semangat begitu tinggi.

''Cuma kapten, Victor Andrag mengalami sedikit kecederaan pada kaki tetapi ia tidak serius dan saya jangka keadaannya kembali seperti biasa pada hari perlawanan," kata beliau.

Sementara itu, penyerang sensasi Kedah, Marlon Alex James menyifatkan semua perlawanan melibatkan Kedah penting dan perlu diberikan tumpuan sebagaimana biasa dalam usaha membawa kejayaan kepada pasukan berkenaan.

Walaupun ramai mengatakan bahawa Marlon akan memberikan komitmen luar biasa bagi memastikan hadiah Piala Malaysia menjadi kenangan terakhir paling bermakna untuknya meninggalkan negara ini selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan lagi aksi pemain import, Marlon berkata:

''Saya profesional, apa sahaja perlawanan kena beri tumpuan, jadi tidak ada bezanya. Jadi, sudah pasti saya akan bersama-sama rakan sepasukan bermain sebaik mungkin dalam perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.

''Saya percaya kepada pasukan (Kedah) dan semua pemain memberikan komitmen tinggi sehingga kami mampu ke tahap ini. Kedah mempunyai pemain muda yang baik seperti Fadly Baharum, saya cukup serasi dengan pasukan ini," tambah beliau.

Mengenai kemampuan Selangor, Marlon menjelaskan, sebagai penyerang beliau tidak mengira pasukan mana sekalipun dihadapi dan akan memberikan aksi terbaiknya.

Radio Amatur