Rabu, Ogos 20, 2008

Kedah Tak Sabar Jumpa Gergasi Merah

JUARA bertahan Piala Malaysia, Kedah yang teruja menghadapi jaguh Lembah Klang, Selangor Sabtu ini perlu lebih berhati-hati jika mahu mencipta rekod sebagai pasukan pertama dalam sejarah bola sepak tanah air mempertahankan ketiga-tiga piala bagi dua musim berturut-turut.

Bermain pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang pasukan berpengalaman seperti Selangor di Stadium Bukit Jalil adalah berbeza dengan perlawanan lain walaupun Kedah berjaya mempertahankan Piala Liga dan Piala FA musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata berdasarkan perkiraan di atas kertas Selangor memiliki kelebihan kerana memiliki ramai pemain kebangsaan yang pasti lebih berpengalaman.

"Pemain seperti Elie Aiboy, Mohd. Amri Yahyah, Mohd Safee Sali dan Frank Seator terbukti menjadi aset kebangkitan skuad Merah Kuning itu namun Kedah tidak ketandusan pemain berkaliber.

"Mempertahankan Piala Malaysia adalah sesuatu yang sukar dan lebih manis dapat mengekalkan ketiga-tiga piala bagi dua musim berturut-turut," katanya.

Katanya, dia sedang merangka strategi khusus untuk perlawanan itu yang diharapkan mampu membendung kemaraan Selangor dan pada masa sama corak taktikal yang diterapkan membolehkan pemain Kedah merobek benteng lawan.

"Saya harap setiap pemain Hijau Kuning bijak mengeksploitasi setiap peluang yang terhidang jika mahu dinobatkan sebagai juara pada perlawanan akhir itu nanti.

"Sebarang kesilapan pada perlawanan genting itu pasti membawa padah dan ini yang saya mahu pemain Kedah elakkan.

"Saya yakin Dollah Salleh (ketua jurulatih Selangor) sedang melakukan sesuatu terhadap pasukannya kerana inilah satu-satunya peluang mereka yang tinggal pada musim ini untuk meraih kejayaan," kata Azraai.

Menurutnya Selangor tidak mungkin dapat menyembunyikan dendam akibat kekalahan 2-3 kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala FA selain mahu melakar impian pada edisi ke-83 ini dengan menjuarai Piala Malaysia bagi kali ke-33.

Kedah mencapai kemenangan besar dalam tiga pertemuan kedua-dua pasukan itu musim ini iaitu dua kali pada pertandingan Liga Super iaitu 6-2 pada perlawanan pertama dan menang 1-0 pada pertembungan kedua.

Pada perlawanan akhir Piala FA Kedah menang 3-2.

Menurutnya, semua pemain Kedah kini berada dalam keadaan yang memuaskan termasuk penjaring terbanyak, Marlon Alex James dan Mohd Fadly Baharom yang bebas daripada sebarang kecederaan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz berkata pemain Kedah berazam mengulangi kejayaan yang dicapai tahun lepas untuk dijadikan hadiah kepada peminat No. 1 Hijau Kuning, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sempena pemerintahan 50 tahun baginda tahun ini.

Radio Amatur