Jumaat, Ogos 22, 2008

Helmi tidak rela rekod tercalar

ALOR STAR - Pertarungan sengit antara Kedah dengan Selangor dalam final Piala Malaysia musim 2007/2008 hanya akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok namun gendang Hijau Kuning sudah dipalu menyemarakkan sesi latihan skuad Kenari di Stadium Darulaman, di sini, semalam.

Begitulah hebatnya sokongan peminat-peminat setia Hijau Kuning yang terus membakar semangat pemain-pemain Kedah dalam usaha untuk memastikan Piala Malaysia musim ini terus kekal di negeri yang dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia itu.

Namun, di hujung padang, penjaga gawang Kedah, Helmi Eliza Elias gigih berlatih menangkap kemas rembatan kencang rakan-rakan sepasukannya terutama penjaring terbanyak, Marlon Alex James dalam sesi latihan yang membayangkan betapa dia benar-benar bersedia untuk menghadapi Selangor.

Gendang dipalu penyokong-penyokong Kedah itu bagi Helmi menunjukkan bahawa mereka begitu mengharapkan kemenangan skuad Kenari ke atas Selangor dan tugas tersebut turut dipikul Helmi yang tidak mahu menghampakan.

Sudah pasti peminat-peminat bola sepak Kedah begitu mengharap untuk skuad Kenari meraih pula Piala Malaysia selepas muncul juara berganda musim 2007/2008 apabila memenangi Liga Super dan Piala FA.

Apatah lagi, Kedah mahu mengulangi pencapaian musim lalu dengan mencipta sejarah tersendiri dengan memenangi ketiga-tiga kejuaraan iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Helmi mengakui pertarungan akhir Piala Malaysia kali ini penuh berbeza dan tugasnya berat, bukan sahaja membabitkan kehebatan kedua-dua penyokong pasukan tetapi perlawanan antara dua pasukan yang mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri.

''Saya berpengalaman bermain dalam perlawanan akhir Piala Malaysia ketika membantu Kedah menjadi juara mengatasi Perak pada musim lalu tetapi dengan Selangor, sudah tentu ia berbeza, cuma kami (Kedah) sudah tentu akan berhati-hati," kata Helmi ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu tidak menafikan bahawa Selangor mempunyai penyerang berbahaya seperti Frank Seator dan Safee Sali namun pengalaman dan komitmen tinggi kesemua pemain diharap menjadi senjata untuk mengekang kemaraan Red Giants. ''Kami pernah beberapa kali mengatasi pasukan ini (Selangor).

Sudah tentu kami tidak rela rekod Kedah tercalar di tangan Selangor walaupun menyedari Red Giants lebih berbahaya kali ini kerana mahu membalas dendam selepas tewas 3-2 pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini," kata Helmi.

Malah, perlawanan akhir Piala Malaysia menjadi medan untuknya mempamerkan lebih jitu selepas dipilih mewakili Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang kelab terkemuka Liga Perdana England, Chelsea yang sudah tentu meninggalkan kesan cukup mendalam. Berdasarkan faktor tersebut, sudah pasti lebih banyak mata akan tertumpu kepadanya, apatah lagi apabila reputasinya sebagai penjaga gawang cukup memberangsangkan pada perlawanan menentang Chelsea tetapi bagi Helmi ia bukan ukuran.

''Dalam setiap perlawanan, apa sekali pun kita kena bermain dengan sepenuh tumpuan. Begitu juga dengan penjaga gol kerana kesilapan bakal membawa padah," katanya yang tersenyum apabila diajak mengimbau salah satu aksi menariknya ketika menepis rembatan kencang pemain handalan Chelsea, Deco dalam perlawanan persahabatan tersebut. ''Itu lain (perlawanan menentang Chelsea), kali ini lain, saya punya tanggungjawab untuk merebut kejuaraan dan akan memberikan komitmen tinggi untuk membantu rakan-rakan sepasukan," tambahnya.

Di bawah bimbingan bekas penjaga gol Kedah dan kebangsaan, Ahmad Sobri Ismail, Helmi yakin barisan pertahanan Kedah dapat menyerap asakan barisan serangan Selangor, malah dia percaya persefahaman di antara pemain dapat membantu skuad Kenari memburu kejuaraan.

Ahmad Sobri ketika ditemui berkata, dia yakin Helmi dapat memberikan persembahan menarik selepas beberapa latihan yang giat dijalankan menjelang perlawanan akhir itu.

Radio Amatur