Khamis, Ogos 21, 2008

Ganjaran menunggu pemain Kedah

ALOR STAR - Gelanggang belum dibuka namun barisan pemain Kedah sudah siap sedia untuk menghadapi Selangor yang menunggu penuh debar di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini, apatah lagi barisan pemain Hijau Kuning bakal menerima ganjaran sebelum final Piala Malaysia itu bermula.

Ini diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa pemain-pemain akan menerima ganjaran daripada agihan wang hadiah RM350,000 selepas menjulang Piala FA musim 2007/2008, sehari sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia berlangsung.

Azizan yang juga Menteri Besar Kedah memberitahu, itu adalah ganjaran hadiah Piala FA sebagai suntikan semangat kepada pemain sedangkan insentif lain turut menunggu sekiranya Kedah menjulang Piala Malaysia musim ini.

''Kita akan beri ganjaran, jumlahnya belum diputuskan, kita tengok bagaimana nanti. Cuma sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia, kita akan beri ganjaran daripada wang RM350,000, hadiah yang diraih baru-baru ini,"kata Azizan kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darulaman, di sini, semalam.

Presiden KFA itu berkata, beliau yakin barisan pemain Kedah dapat memberikan persembahan memberangsangkan pada perlawanan menentang Selangor berdasarkan keupayaan yang ditunjukkan pemain sebelum ini.

Menurut beliau, peminat bola sepak nombor satu Kedah iaitu Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka berangkat menyaksikan perlawanan akhir tersebut yang sudah pasti memberikan sokongan moral cukup tinggi kepada barisan pemain skuad Kenari.

''Baginda juga akan bertemu dengan pemain-pemain dan pegawai skuad Kedah sebelum perlawanan untuk memberikan kata-kata perangsang," kata beliau.

Sementara itu, pemain tengah Kedah, Nelson Sam Martin ketika ditemui selepas sesi latihan skuad Kenari berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk beraksi pada perlawanan akhir itu kerana kesakitan pada lutut kanannya sudah beransur hilang.

''Tidak ada masalah, sedikit sahaja, tengok saya boleh menjalani latihan seperti biasa dan sudah tentu mahu memberikan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti," kata pemain import dari negara Chile itu.

Menurut Nelson, dia percaya Kedah mampu menjinakkan Red Giants apatah lagi dengan memiliki barisan pemain muda yang sebelum ini menunjukkan keupayaan masing-masing dalam perlawanan-perlawanan lalu.

Radio Amatur